Sunday, June 30, 2013

Bantahan terhadap kenaikan mendadak 5 kali ganda caj perkhidmatan Indah Water

Kenyataan Akhbar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri  Air Itam – YB Wong Hon Wai di Air Itam, Pulau Pinang pada 29-6-2013

Saya telah menerima aduan dari penduduk di Tingkat Lembah Ria, Air Itam bahawa kenaikan mendadak 5 kali ganda caj perkhidmatan Indah Water.  Peng
Pengadu, Encik TY Tan telah berjumpa saya dan mengadu bahawa beliau menerima satu notis dari Indah Water yang bertarikh 15-6-2013. Dalam notis tersebut telah memaklumkan kepada beliau terhadap kenaikan kadar caj bagi perkhidmatan pengosongan Enapcemar dari tangki jenis tandas curah (‘Pour Flush’).  Kenaikan tersebut adalah dari RM48 kepada RM230.00 (untuk sekali perkhidmatan pengosongan kapasiti tidak melebihi 2.5meter padu).  Tarikh efektif kenaikan berkuatkuasa pada 1 Julai 2013.  Saya telah menghubungi IWK cawangan Pulau Pinang yang turut mengesahkan kenaikan tersebut.
Saya memerhatikan kenaikan caj tersebut tidak diumumkan kepada orang awam melalui media samada oleh Menteri, Ketua Pengarah Kementerian berkenaan atau Indah Water.  Malahan, tiada sebarang pengumuman di website IWK.
Dengan senyap-senyap, IWK telah menghantar notis kepada pengguna-pengguna tanpa pengumuman formal oleh pentadbiran. Tindakan ini mencurigakan khasnya kenaikan drastik 5 kali ganda dalam masa yang begitu singkat selepas pilihanraya PRU13.
Menurut pengadu, beliau menggunakan perkhidmatan pengosongan IWK setiap 2 bulan. Melalui caj baru, dianggarkan beliau terpaksa membelanja RM4 sehari untuk tujuan pembentungan. Ini  terlalu membebankan memandangan premis tersebut adalah premis domestik dan bukan komersil.  Untuk rakyat yang hidup dengan sederhana, RM4 cukup untuk makan pagi dan petang.    
Saya mendapati kenaikan tersebut bukan terhad kepada penduduk di Tingkat Lembah Ria, Air Itam tetapi merupakan kenaikan secara nasional.   Menurut statistik di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN), terdapat 57,292 unit premis yang menggunakan perkhidmatan pour flush di seluruh Pulau Pinang pada tahun 2010. Di peringkat seluruh Malaysia, terdapat 894,859 unit premis yang menggunakan perkhidmatan pour flush.  Saya ingin mendapatkan satu jawapan rasmi tentang berapa ramai pengguna tersebut yang terlibat dalam cadangan kenaikan kali ini.
Saya meminta Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak menjawab sendiri terhadap kenaikan ini. Ini kerana IWK bukan entiti swasta tetapi adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
Perkhidmatan Pembentungan adalah satu perkhidmatan asas seperti air dan elektrik. Kenaikan Caj Perkhidmatan yang begitu mendadak tanpa penjelasan menunjukkan keangkuhan Barisan Nasional selepas Pilihanraya Umum 13. Keangkuhan Barisan Nasional dengan kenaikan sewenang-wenangnya tanpa rundingan dengan orang awam dan tanpa pengumuman formal oleh Menteri berkenaan.
Saya meminta penjelasan penuh terhadap kenaikan ini dan meminta penangguhan serta kaji semula terhadap kenaikan ini.
Saya akan membangkitkan isu perkhidmatan IWK di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang akan bersidang semula pada 3-7-2013. Saya akan merujuk kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat supaya perkara ini turut diperdebatkan di Parlimen yang sedang bersidang.
-----
YB Wong Hon Wai
ADUN Air Itam

No comments: